
BARU-BARU ini media melaporkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berjaya membayar saman kepada trio DAP sebanyak RM830,000 selepas bersalah memfitnah pihak berkenaan.
Tahniah diucapkan kepada Siti Mastura kerana berjaya mengekalkan kerusi Parlimennya dan mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil.
Semuanya ini adalah hasil tabung jihad yang dilancarkan bagi mengutip sumbangan para penyokong totok untuk membantunya.
Sumbangan tabung jihad itu menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat tetapi demi kuasa beberapa dalil dan dalih telah dikeluarkan oleh para ulama Pas untuk menghalalkannya.
Kemudian beberapa hari selepas itu rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yaasin membayar saman kepada Lim Guan Eng sebanyak RM1.4 juta gara-gara memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Para pemerhati politik berharap kes Siti Mastura itu memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas supaya bertabayyun terlebih dahulu dan jangan sekali-kali menghayun apabila mendapat sebarang maklumat.
Bagaimanapun tirai pembukaan 2025 ini sekali lagi dikejutkan dengan fitnah yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria terhadap Hannah Yeoh.
Ini seolah-olah menunjukkan pemimpin Pas tidak serik-serik mengeluarkan fitnah kepada siapa sahaja yang menjadi sasarannya.
Umumnya mengetahui Razman sudah beberapa kali lidahnya yang dianugerahkan oleh Allah untuk bercakap benar sanggup mengeluarkan fitnah semata-mata demi kuasa dan duit.
Sebelum ini beliau yang sering bersongkok sanggup menfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen pilihan raya lalu.
Kes mengibar bendera China di Menara Condong, Teluk Intan disasarkan kepada Pengerusi DAP Perak, Nga Khor Meng tetapi ditarik balik semua tuduhan di atas.
Sebelum itu pada 2017, beliau didapati bersalah memfitnah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan mahkamah mengarahkannya membayar saman.
Hari ini diperlihatkan bahawa ramai dalam kalangan pemimpin Pas sibuk turun naik mahkamah dek kerana fitnah serta kalah dan ini pasti membusukkan nama Islam yang mereka tunggang.
Sejak akhir-akhir ini Pas dikatakan menjadi ‘juara’ kalah dalam kes saman fitnah tetapi di sebalik itu mereka mendakwa merekalah yang suci ketimbang ahli parti lain.
Malah ada di antaranya selepas membuat fitnah akhirnya menarik balik kerana takut turut disaman dan hilang kedudukan serta pendapatan.
Oleh itu para pejuang Pas hari ini perlu sedar dan membuka mata supaya tidak dikaburi dengan dalil atau fatwa yang banyak menimbulkan kekeliruan.
Kekalahan demi kekalahan dalam saman fitnah terutamanya kepada bukan Islam secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap Islam.
Islam itu sebenarnya suci dan bersih tetapi kesilapan serta tindak-tanduk ahli Pas menyebabkan Islam dipandang hina oleh bukan Islam.
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah”, mafhum hadis riwayat Bukhary dan Muslim. Tapi tak tahulah ahli Pas, mungkin mereka ada kunci pintu syurga sendiri.
Tindakan pemimpin Pas hari ini yang sering melempar fitnah sudah pasti akan menyebabkan bukan Islam semakin jauh untuk mendekatinya apatah lagi untuk memeluk Islam.
Sebagai pemimpin Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah SAW tidak harus berlaku pada mereka yang dikatakan perjuang Islam.
Apa yang membimbangkan pada hari ini sudah pasti generasi Y dan Z akan terikut-ikut rentak perjuangan ulama Pas hari ini hingga boleh membawa kepada ketaasuban.
Adalah menyedihkan sekiranya fenomena ini tidak dibendung sudah pasti Islam di negara kita akan wujud pelbagai fahaman dan tidak mustahil Tragedi Memali 2 akan berulang lagi suatu hari nanti.
Akhir kalam, bagaimana dengan Razman, adakah sudah menerima saman dari Hannah Yeoh?
Adakah beliau sudah bersedia menghadapinya serta merampas salah satu kedudukan dari pembayar saman fitnah tertinggi dalam kalangan ahli politik?
Diharap beliau tidak akan menyandang menjadi ‘Raja Pemfitnah’ dalam politik tanah air.