PENGAMAL undang-undang, Ainnur Liyana Ya’akub, menegaskan bahawa masyarakat perlu memahami batas dan peranan mereka dalam menyuarakan pandangan terutama berkaitan isu semasa di media sosial, agar tidak melanggar undang-undang sedia ada.
Menurut Ainnur, ramai dalam kalangan pengguna media sosial masih belum jelas mengenai had kebebasan bersuara, khususnya dalam konteks perundangan Malaysia.
“Kadang-kadang apabila ada isu semasa, ramai yang beri komen secara terbuka. Ada pihak menyokong kumpulan A, ada pula yang menyokong kumpulan B.
“Masing-masing bertelingkah dan mula mengecam serta menghina antara satu sama lain. Sedangkan sepatutnya kita serahkan kepada mahkamah untuk tentukan kebenaran,” katanya ketika ditemu bual oleh The Malaysia Press.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan mengecam dan mempersenda individu atau pihak tertentu di media sosial boleh membawa kesan buruk, bukan sahaja dari segi emosi tetapi juga dari segi undang-undang, termasuk jenayah fitnah (defamation).

“Ramai masih ingat media sosial ini bebas sepenuhnya untuk bersuara. Mereka anggap ini macam di Amerika Syarikat (AS), sedangkan kita di Malaysia ada had yang ditetapkan oleh undang-undang seperti Akta Fitnah dan peruntukan lain berkaitan jenayah siber,” ujarnya.
Ainnur turut menasihati masyarakat agar tidak menambah buruk keadaan apabila berlaku kes buli siber, dengan menyebarkan semula tangkap layar atau kenyataan yang berunsur penghinaan.
“Kalau niat kita nak bantu mangsa buli siber, jangan pula kita sebarkan semula perkara yang menghina itu. Sebaliknya, tangkap layar itu boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerana mereka badan penguat kuasa yang sah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menegur sikap sesetengah pihak yang memperalatkan insiden tertentu untuk meraih perhatian dan pengikut di media sosial demi kepentingan peribadi.
“Kalau kamu muat naik semula sesuatu yang viral semata-mata untuk tarik perhatian, itu tandanya ada niat tidak baik. Kita perlu sedar tindakan begitu tidak membantu sesiapa, malah boleh memburukkan lagi keadaan,” tegas beliau.
Justeru, beliau mencadangkan agar masyarakat lebih cakna dengan perkembangan semasa berkaitan perundangan siber melalui sumber yang sah seperti MCMC dan forum-forum berkaitan hak dan tanggungjawab digital.
“Masyarakat perlu ambil tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di media sosial. Banyakkan membaca dan ikuti perkongsian daripada pihak berautoriti supaya tidak tersalah langkah,” jelasnya.






