
KUCHING: Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap Sarawak diberi peluang untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Kriket Dunia.
Kata Karim, kejohanan melibatkan lebih 20 negara itu masih belum ditetapkan lokasi buat sementara ini.
“Saya difahamkan Persatuan Kriket Malaysia dan Persatuan Kriket Sarawak berusaha mahu Sarawak menjadi tuan rumah pada kejohanan bertaraf antarabangsa pada tahun hadapan,” ujar beliau.
Tambah Karim, Sarawak sudah mempunyai padang kriket sendiri dan bersedia menjadi penganjur kepada kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut.
“Saya percaya sukan kriket di Sarawak berkembang dengan baik dan berharap diberi peluang untuk menjadi penganjur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada hari ini ketika merasmikan simbolik perasmian Padang Kriket Sarawak di Kompleks Sukan Sarawak.