KOTA KINABALU – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah perlu mengambil kira akan sentimen ’lokal’ yang berlaku di Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, parti itu mahu memfokuskan kepada sentimen rakyat di negeri Sabah.
“Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat semenanjung agak baik dari segi kerjasamanya, tapi dalam konteks Sabah, mahu tidak mahu, kita kena pastikan bahawa sentimen ’lokal’ itu penting.
“Kita kena mengambil kira sentimen rakyat Sabah yang mahu supaya hak mereka diperjuangkan.
“Hari ini kami baru saja selesai mesyuarat Biro Politik yang dipengerusikan oleh Datuk Christina Liew. Kami membincangkan beberapa perkara yang telah berlaku pada beberapa minggu lepas dan saya mewakili Keadilan telah membuat perjumpaan tidak rasmi dengan BN.
“Mesyuarat tersebut tidak rasmi, hanya perbincangan untuk masing-masing meluahkan pandangan masing-masing bagaimana kita menghadapi politik negeri Sabah sekarang untuk persediaan PRN17.
“Jadi ini antara yang kami bincang dan putuskan bahawa kami akan bawa isu ini di peringkat mesyuarat PH untuk diputuskan bersama.
“Jadi keputusan akhir nanti PH akan buat kenyataan bersama bagaimana kami menghadapi PRN ke-17 nanti dari sudut kerjasama antara parti,” katanya ketika ditemui dalam Sidang Media Khas Biro Politik (BIROPOL) PKR Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Sementara itu, Mustapha mengulas lanjut berkenaan kerjasama antara parti bagi menghadapi PRN17 tidak akan diputuskan selagi belum berlaku pembubaran.
“Selagi belum bubar, selagi itulah kita tidak dapat putuskan siapa yang akan bekerjasama dengan kita sebab semua bergantung dengan proses rundingan.
“Kita mahu pentingkan isu berkaitan tentang Perjanjian Malaysia (MA63), isu tentang tuntutan 40 peratus dan isu-isu lain yang dekat di hati rakyat ditangani dan diperjuangkan bersama walaupun kita parti nasional.
”PKR kini dalam proses terakhir untuk memilih kawasan-kawasan sesuai untuk bertanding.
“Prosesnya begini, kita bincang di peringkat PKR dan bawa ke Majlis Perundingan PH untuk kenal pasti kerusi yang kuat untuk kami bertanding, selepas semua itu baru kita akan buka rundingan dengan parti lain.
“Kita alu-alukan cadangan daripada Presiden PGRS dan Pengerusi GRS, tapi bagi masa kepada PKR dan PH untuk bincang di peringkat kami,” jelasnya.
Sehubungan itu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew turut menjelaskan perjumpaan PKR Sabah dan BN adalah baik untuk memahami satu sama lain.
“Semasa perjumpaan tersebut saya berada di luar negara atas urusan kerja, jadi hari ini kami berbincang dalam mesyuarat ini dan kami telah memahami dengan lebih baik apa yang berlaku.
“Pengerusi telah memberi taklimat kepada kami, kami faham isunya, kami juga memahami perasaan rakyat dan pengundi di Sabah, kami fikir bahawa kami perlu menjelaskan lagi perkara ini kerana kami tahu bagaimana berkerja di Sabah dan bagaimana menggunakan kesempatan pemahaman kami tentang apa yang patut kami bentangkan berkenaan isu rakyat Sabah.
“Terutamanya apabila dalam memilih calon yang bertanding di Sabah, kami dapatkan calon terbaik kami, kami buat program yang terbaik sebelum pilihan raya kerana matlamat kami adalah untuk berkhidmat, kurangkan berpolitik, lebihkan kerja, itu tujuan kami,” ujarnya.
Tambah beliau, mesyuarat bersama PH akan dibuat secepat mungkin dan masa akan cuba ditentukan dengan Perdana Menteri dan pemimpin dari parti komponen PH untuk perbincangan bersama.




