Ambiga, anda sudah melampau!

HANYA kerana mahu semua media sosial dan perkhidmatan permesejan internet yang ada minimum lapan juta pengguna berdaftar di negara ini memohon lesen, kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dilabel bekas Pengerusi Bersih – Ambiga Sreenevasan – sebagai ‘kerajaan paling diktator pernah dimiliki rakyat Malaysia’.

Pada awalnya, saya ragu-ragu membaca judul laporan Malaysiakini berkaitan perkara itu yang berbunyi ‘Ini k’jaan paling diktator kita pernah ada – Ambiga’.

Sadis sungguh bunyinya. Kerana tidak mahu kefahaman saya tersasar, berulang kali saya baca keseluruhan kandungan laporan tersebut.

Menurut Malaysiakini, di aplikasi X, Ambiga berkata, dia tidak pernah membayangkan kerajaan pimpinan PH akan kembali kepada janji pilihan raya mengenai pembaharuan undang-undang termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

“Saya tidak pernah terfikir akan melihat hari apabila kerajaan pimpinan PH yang hidup atas platform memperjuangkan pemansuhan PPPA, sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baharu.

“Kerajaan Perpaduan kini boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada,” kata Ambiga, sebagaimana laporan portal berita tersebut.

Pada dasarnya saya menghormati bekas Pengerusi Bersih itu, tetapi saya juga terfikir, dalam keadaan kerajaan sekarang dilabel kerajaan paling diktator yang pernah kita ada, elok tersiar pula laporannya dalam pelbagai media tanpa sebarang ancaman.

Paling diktatorkah kerajaan sekarang jika Ambiga dapat bercakap secelopar itu? Paling diktatorkah Malaysia Madani jika setiap masa tersiar di media sosial makian, carutan, ancaman ke atas menteri?

Ambiga, sila jawab ini – paling diktatorkah Malaysia Madani dalam keadaan fitnah dan adu domba seperti telah dinormalisasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, malahan Perdana Menteri pun menerima ancaman serius?

Seharusnya, Ambiga, anda lebih berakal budi dalam mengeluarkan kenyataan. Adakah anda berasa kata-kata anda itu ‘selamat sejahtera’ jika semua ini dilontarkan sekurang-kurangnya pada zaman seorang bekas Perdana Menteri dahulu?

Terfikirkah anda begitu? Juga, terfikirkah anda akan suatu kes bunuh diri seorang gadis berbangsa India ekoran menjadi mangsa buli siber tidak lama dahulu?

Adakah baru anda akan mempunyai kesedaran kepentingan kawalan media hanya setelah anda menjadi mangsa penipuan urusan dalam talian?

Era ini merupakan tempoh yang memperlihatkan media menguasai minda pengguna hampir sepenuhnya dan jika tidak dikawal, bahana besar akan menimpa rakyat secara umumnya.

Kawalan seumpama ini perlu kerana terlalu banyak tersebar berita tidak sahih, fitnah, dan hasutan terutama yang melibatkan isu 3R yang akan mewujudkan spekulasi dan akhirnya meruntuhkan institusi dan negara.

Kebocoran maklumat dan penipuan dalam talian menjadi-jadi seiring kemajuan yang menjadikan platform itu sebagai lebuh raya maya dan di simpang-simpang tertentu ada penyangak yang sentiasa menunggu detik menjerat mangsa.

Mengambil langkah seperti yang diumumkan kerajaan itu berkali-kali ganda lebih baik ketimbang memburu pemfitnah dalam talian kerana urusannya rencam dan memakan waktu.

Tidak timbul unsur diktator dalam soal ini kerana sesuatu peraturan, ketetapan, dan undang-undang digubal mengikut keperluan semasa sesuai dengan zaman dan yang penting ada nilai keikhlasan serta tanggungjawab.

Oleh sebab itu, selaku bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia yang boleh dilihat sebagai golongan cendekia, anda seharusnya menimbangkan semua kenyataan tadi sebelum bercakap kepada khalayak.

Cadangan kerajaan mengenakan syarat kepada syarikat platform media sosial seperti yang menjadi isu sekarang boleh dibahaskan, namun, menuduh kerajaan kini paling diktator sangatlah melampau dan tidak bertanggungjawab.

Sedarkah anda akan perkara ini, Ambiga?

Related Posts

MINDA TOK ABAH: Di persimpangan nepotisme dan reformasi

REFORMASI bukan sekadar slogan. Ia adalah kesungguhan untuk menggoncang sistem bobrok yang dibina atas dasar kronisme, penindasan dan politik ‘warlord’. Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah sekian lama menjadikan ideologi reformasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MINDA TOK ABAH: Memaknai reformasi dalam MADANI

PEMILIHAN Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025 bakal menjadi satu lagi entiti penting bukan sahaja dalam lipatan sejarah politik tanah air, malah bakal menjadi penentu kejayaan mutlak agenda Malaysia MADANI.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pusat Santuari Gajah Perak, solusi kurangkan konflik gajah-manusia

Pusat Santuari Gajah Perak, solusi kurangkan konflik gajah-manusia

Teknologi digital perkasa ilmu, pacu kemajuan masyarakat luar bandar

Teknologi digital perkasa ilmu, pacu kemajuan masyarakat luar bandar

Letak kenderaan di bahu jalan cetus kesesakan, polis ambil tindakan tegas

Letak kenderaan di bahu jalan cetus kesesakan, polis ambil tindakan tegas

Resipi PRN Sabah: Langkah strategik kestabilan nasional

Resipi PRN Sabah: Langkah strategik kestabilan nasional

Penduduk Kg Tinusa lega buaya 16kg ditangkap APM Sandakan

Penduduk Kg Tinusa lega buaya 16kg ditangkap APM Sandakan

Kos tukar paip lama Taman Tas cecah RM6 juta

Kos tukar paip lama Taman Tas cecah RM6 juta