
BANDA HILIR– Masyarakat dikejutkan dengan penularan kegiatan yang didakwa mempromosi aktiviti berkaitan agama Kristian di hadapan Surau Warisan, berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini sejak semalam.
Ia selepas tular video berdurasi 16 saat yang memaparkan tiga individu membuka reruai bagi mempromosikan kursus percuma Bible yang dipercayai dianjurkan beberapa hari lalu.
Berdasarkan video yang dirakam seorang pengayuh beca berkenaan, dia mempersoalkan niat dan kewajaran kumpulan terbabit membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau pelancongan yang menjadi ikonik Melaka itu.
Situasi ini menimbulkan rasa kurang senang warganet khususnya umat Islam.
Lebih 1,000 perkongsian dan 1,400 komen hasil tinjauan di ruang video tersebut yang mahukan pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh atas perbuatan provokasi yang mencabar Islam sebagai agama rasmi negara.
Difahamkan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengambil tindakan terhadap individu terbabit selain kerap melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.