
LIMBANG – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengeluarkan Pemakluman Penting berhubung ancaman bahaya bencana geologi tanah runtuh di kawasan Bukit Mas, Limbang selepas bacaan hujan mencatatkan paras bahaya.
Menurut kenyataan JMG, bacaan pada instrumen Automated Rain Gauge (ARG) di Bukit Mas telah direkodkan berada pada atau melebihi paras bahaya pada jam 9.25 pagi, 2 Januari 2026.
“Keadaan ini meningkatkan risiko berlakunya kejadian tanah runtuh, khususnya di kawasan cerun dan lembah yang berisiko,” menurut kenyataan itu baru-baru ini.
Sehubungan itu, orang awam di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan cerun atau lembah yang berpotensi berbahaya.
JMG turut menggesa penduduk supaya segera melaporkan sebarang tanda awal tanah runtuh seperti retakan tanah, pokok tumbang serta aliran air berlumpur kepada pihak berkuasa tempatan atau menghubungi talian kecemasan 999.
Selain itu, pemilik kenderaan dan bangunan berhampiran cerun dinasihatkan agar mengalihkan kenderaan serta mengosongkan premis sekiranya terdapat tanda-tanda ancaman tanah runtuh.
“Orang ramai juga diminta supaya segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan semua pihak,” jelas kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan orang awam dinasihatkan untuk mengikuti maklumat serta arahan terkini yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan.







