JERANTUT – Masjid As-Sobirin FELDA Jengka 24 secara rasmi memiliki pejabat pengurusan baharu selepas kerja naik taraf siap dan diserahkan hari ini.
Pejabat bernilai kira-kira RM100,000 itu adalah hasil infaq dan sumbangan orang ramai, termasuk dermawan dari sekitar tanah rancangan berkenaan.
Majlis perasmian pejabat terbabit dilakukan Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah.
Nik Ibrahim dalam ucapannya berharap, pejabat pengurusan berkenaan dapat memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian dan kebajikan masyarakat setempat.
“Ia adalah usaha yang sangat murni dan membanggakan apabila pejabat sebegini baik dapat dibina dan disiapkan, melalui sumbangan daripada orang ramai.
“Sudah pasti keberkatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti di sini, akan menyaksikan segala kebaikan dan pahala dapat mengalir secara berterusan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud; Pengerusi masjid, Ishak Ghani dan Pengurus FELDA Jengka 24, Saiful Mohd Pauzi.
![]()
Turut serta Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita (GPW) FELDA berkenaan, Rogayah Said dan semua ketua blok tanah rancangan berkenaan.
Seramai 80 asnaf dan anak yatim menerima sumbangan pada majlis sama.
Sementara itu, Razak memaklumkan, pihaknya melakukan gotong-royong sejak awal pagi tadi bagi memastikan majlis berkenaan berjalan dengan sempurna.
“Kita adakan jamuan rakyat bersempena perasmian pejabat ini, ada dua ekor lembu disumbangkan bagi tujuan jamuan kenduri ala kampung yang diadakan di perkarangan masjid.
“Saya amat terharu dengan kerjasama diberikan semua pihak hingga segala perjalanan majlis sangat lancar dan memuaskan,” katanya.







