ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MADACorp, Abdullah Ismail meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Johari Abdullah berkata, insiden yang tular di media sosial berkaitan tindakan tidak beradab menolak bersalaman dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu tempoh hari sangat memalukan.

Katanya, Amanah Kedah berpandangan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif itu tidak beradab dan beretika serta gagal menghormati seorang pemimpin dan menteri yang bertanggungjawab terhadap syarikat MADACorp dan KPKM.
“Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif itu telah mendapat reaksi dan kecaman daripada pelbagai pihak dan ini sekaligus boleh menjejaskan reputasi anak syarikat tersebut serta kerjasama antara MADACorp dan KPKM.
“Sekiranya hubungan dingin itu berlaku sudah pasti ini akan memberi impak negatif kepada pembangunan sektor pertanian di Kedah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Johari lagi, Amanah Kedah berpendapat desakan peletakan jawatan tersebut adalah wajar demi mengharmonikan keadaan, di samping memulihkan imej anak syarikat MADA berkenaan.
Amanah Kedah juga akan terus memantau perkembangan isu ini dan berharap dengan peletakan jawatan tersebut sebagai jalan penyelesaian terbaik, demi kepentingan rakyat dan pembangunan pertanian Kedah khususnya para petani.




