PUTRAJAYA – Pengguna jalan raya, khususnya yang akan pulang beraya sempena Aidilfitri disarankan supaya menghayati konsep ‘Vision Zero’, yang mampu membuka mata setiap masyarakat untuk sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya.
Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pendekatan itu menekankan semua kemalangan raya boleh dicegah dengan kehilangan nyawa di jalan raya adalah insiden yang tidak boleh diterima.
Apa yang membimbangkan, beliau yang juga merupakan aktivis perlindungan sosial mendedahkan setiap tahun, puluhan ribu kemalangan direkodkan dalam tempoh singkat ketika musim perayaan.
“Statistik telah membuktikan bahawa lebih 20,000 kemalangan jalan raya boleh berlaku dalam tempoh seminggu sambutan raya dengan ratusan nyawa terkorban di seluruh negara.
“Menjelang sambutan Aidilfitri dan musim balik kampung, rakyat Malaysia sekali lagi berdepan dengan satu realiti yang membimbangkan iaitu peningkatan kes kemalangan dan kematian di jalan raya setiap kali musim perayaan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Beliau berpandangan, statik berkenaan bukan hanya sekadar angka, namun melibatkan perkara mengenai kehilangan insan tersayang yang tidak ternilai dan fakta itu perlu dihentikan.

“Sehubungan itu, kita menyeru semua pengguna jalan raya untuk menghayati konsep ‘Vision Zero’ iaitu satu pendekatan yang menegaskan bahawa semua kemalangan jalan raya boleh dicegah dan tiada satu pun kehilangan nyawa yang boleh diterima,” katanya.
Sementara itu, Lam Thye yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat turut menyenaraikan antara langkah yang wajar diambil ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Katanya, ini termasuk merancang perjalanan sebaiknya, termasuk menyemak keadaan trafik, rancang jadual untuk berhenti rehat, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Selain itu, usah pandu laju. Kelajuan berlebihan adalah punca utama kemalangan maut. Lebih baik tiba lewat daripada tidak tiba langsung.
Amat penting juga untuk mendapatkan rehat secukupnya dan kekal fokus.
Keletihan boleh membunuh, jadi berhenti rehat setiap dua jam. Jika mengantuk, segera berhenti.
“Kemudian, jangan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah selain elakkan gangguan telefon bimbit. Usah ambil ringan tentang keadaan pemanduan yang tertunggu kerana ia adalah pembunuh senyap. Satu saat sahaja leka boleh membawa padah seumur hidup,” katanya.
Lam Thye turut meminta pengguna jalan raya memberi perhatian kepada penunggang motosikal kerana mereka antara yang paling terdedah kepada risiko.
“Jika bertembung dengan penunggang motosikal, berilah ruang dan sentiasa berwaspada. Untuk capai sambutan raya tanpa kemalangan, ia memerlukan lebih daripada sekadar penguatkuasaan undang-undang, termasuk perubahan sikap dan budaya dalam kalangan semua pengguna jalan raya.
“Kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan masyarakat keseluruhan juga perlu berganding bahu dalam memastikan keselamatan menjadi keutamaan.
“Marilah kita jadikan raya kali ini berbeza, bukan dikenang kerana tragedi, tetapi kerana perjalanan yang selamat dan pertemuan yang penuh kegembiraan,” katanya.




