
UMAT Islam di negara ini diingatkan supaya tidak menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat mencari keberkatan atau populariti kerana perbuatan sedemikian bertentangan dengan prinsip akidah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, umat Islam perlu menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan.
“Saya mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat berkat.
“Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, pada Ahad.
Mengulas mengenai laporan media berhubung tindakan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah dari pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman dan menyapunya ke wajah kononnya untuk mendapatkan keberkatan, Mohd Na’im menyifatkan perbuatan itu sebagai amat mendukacitakan.
Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam setiap amalan serta tidak mudah terpengaruh dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.
“Saya juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas tetapi berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama memantau kawasan perkuburan.
“Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuhkan akidah umat Islam di negara ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak seluruh umat Islam untuk mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT dan keluarganya dikurniakan ketabahan menghadapi ujian tersebut.
Terdahulu, media melaporkan bahawa keluarga Allahyarhamah terpaksa memasang tali penghadang di pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, Terengganu berikutan tindakan beberapa individu yang didakwa melakukan perbuatan syirik dan khurafat di kawasan berkenaan.






