LUBOK ANTU – Industri kelapa sawit Sarawak kini berada di landasan yang lebih mampan apabila tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran minyak mentah semata-mata, sebaliknya berpotensi diperkasa melalui aktiviti hiliran yang mampu menjana pendapatan baharu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan teknologi masa kini membuka peluang kepada industri sawit untuk menghasilkan produk bernilai tambah seperti biofuel untuk kapal terbang dan makanan haiwan ternakan.
“Dahulu industri kelapa sawit lebih tertumpu kepada penjualan minyak mentah, tetapi sekarang kita boleh melangkah lebih jauh dengan menghasilkan bahan api bio dan produk sampingan lain yang memberi pulangan lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Kilang Pelumat Isirung (KCP) di Lubok Antu pada Sabtu.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada pendekatan ‘waste to energy’ dalam industri sawit, di mana sisa-sisa sawit diproses menjadi produk boleh diperbaharui dan mempunyai nilai komersial.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan sumber, malah dapat mengurangkan pembuangan sisa secara berlebihan yang boleh menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menegaskan Sarawak komited menggalakkan pengeluaran produk mesra alam, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kelestarian alam tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya telah meminta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom untuk berbincang dengan Peguam Besar Sarawak bagi meneliti pindaan undang-undang berkaitan pengurusan sisa kelapa sawit agar dapat dijadikan sumber pendapatan baharu,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; serta barisan kenamaan dan ketua-ketua jabatan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






