
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disemak dan dikaji semula.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu Menteri Dalam Negeri akan tampil ke Parlimen untuk memberi kenyataan mengenai perkara tersebut.
“Susulan kepada sesi PMQT pada Khamis lalu, di mana Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dan beberapa perkara akan dipermudah.
“Tapi secara prinsipnya ada beberapa perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui berkaitan dengan menambah baik ataupun menyemak semula Akta SOSMA,” katanya pada sidang media pasca Kabinet pada Jumaat.
Ditanya mengenai punca akta tersebut disemak dan diteliti semula adalah berikutan kejadian yang berlaku baru-baru ini.
“Pada masa yang sama kerajaan memang dari semasa ke semasa meneliti undang-undang yang mana sekiranya perlu atau boleh ditambah baik maka usaha-usaha ini akan diteruskan,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, menuntut kerajaan segera mengkaji semula berkenaan kerana disifatkan sebagai peruntukan yang zalim dan menindas.
Minggu lalu, ahli keluarga kepada 32 orang yang ditahan di bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh.
Mereka menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan lawatan serta memeriksa keadaan tahanan, yang dikatakan turut memulakan mogok lapar di dalam penjara.
Menerusi surat aduan kepada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), kesemua individu itu ditahan polis antara Mei hingga September tahun lalu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng TR.
Kesemua didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan SOSMA serta tidak ditawarkan jaminan.







