PUTRAJAYA – Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 perlu dikaji semula dengan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemilik kenderaan mewah yang memandu tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans sah.
Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menyifatkan denda minimum RM300 dikenakan ketika ini tidak memberi kesan kepada kesedaran golongan terbabit dan gagal mengekang kesalahan itu daripada terus berlaku.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, hukuman lebih tegas akan menimbulkan rasa takut kepada pemilik kenderaan yang sering melanggar undang-undang.
Budaya segelintir pemilik kenderaan mewah yang sanggup membayar kompaun RM300 semata-mata untuk terus memandu tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans sah perlu dibanteras sepenuhnya.
“Walaupun agensi penguatkuasaan berhadapan kekangan kerana terpaksa memberi tumpuan kepada masalah lebih ketara seperti isu perlanggaran membabitkan kenderaan perdagangan, pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu, penumpang bas ekspres dan pelbagai lagi, isu ini juga perlu diberi keutamaan kerana membabitkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengambil langkah proaktif mengesan dan memberi amaran tegas kepada pemilik kenderaan mewah yang melanggar peraturan.
“Tindakan tegas perlu diambil agar pemandu tidak mengambil mudah soal cukai jalan dan insurans, terutama bagi kenderaan mewah berkuasa tinggi,” katanya kepada Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan kadar rendah terhadap kesalahan tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, didakwa menjadi punca segelintir pemilik kenderaan mewah berkuasa tinggi tidak memperbaharui dokumen terbabit.
Realiti itu didedahkan peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan yang berkongsi pengalaman bertemu seorang pengasas produk yang memiliki kenderaan mewah, sanggup tampil di mahkamah untuk menyelesaikan saman.
Mengulas lanjut, Manan menyifatkan isu membabitkan pemilik kenderaan mewah yang ingkar bayar cukai jalan dan beli insurans bukan suatu perkara baharu.
“Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu dan pelik, malah ia seperti didakwa diamalkan sejak dahulu lagi dan tidak terkecuali pemalsuan nombor plat kenderaan.
“Justeru, isu ini tidak boleh diambil ringan oleh pemilik kenderaan kerana ia akan memberikan impak besar kepada mangsa yang terbabit dalam sebarang insiden perlanggaran kerana tidak boleh membuat tuntutan insuran.
“Ia juga akan menjadi lebih rumit apabila membabitkan nyawa pengguna dan perlu kepada peroses perundangan termasuk tuntutan ganti rugi dan mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan,” katanya.



