
PADANG TERAP – Impian penduduk Padang Terap yang ingin melihat sebuah bandaraya industri di kawasan mereka akhirnya tidak kesampaian apabila Bandaraya Getah Kedah (Rubber City) yang dibina akhirnya terbengkalai.
Bandaraya Getah Kedah itu diilhamkan oleh Kerajaan Barisan Nasional bagi memajukan kawasan Padang Terap yang dahulunya merupakan antara kawasan termiskin di Semenanjung Malaysia.
Diharap apabila Bandaraya Getah itu siap dapat meningkatkan lagi anjakan paradigma ekonomi penduduk di kawasan itu.
Sebelum ini kebanyakkan penduduk di situ hanya bergantung kepada aktiviti pertanian seperti getah, padi dan kelapa sawit.
Penduduk, Mat Robi Hassan, 60, berkata, adalah menyedihkan apabila projek yang bernilai berbilion ringgit itu terbengkalai akibat penduduk di sini menolak kerajaan sebelum ini.

Katanya, kesilapan penduduk Padang Terap yang memilih Pas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen menyebabkan projek itu terpaksa diberhentikan yang gagal untuk dimanfaatkan.
“Sebelum ini apabila pengumuman Bandaraya Getah akan dibina di Ladang Bukit Ketapang seluruh penduduk di situ sangat gembira kerana pasti akan menjadi mercu tanda di Padang Terap nanti.
“Pembinaan Bandaraya Getah itu merupakan hadiah oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di situ bagi membangunkan kawasan itu serta taraf hidup penduduk di situ.
“Bagaimanapun kesilapan penduduk di situ yang termakan dengan dakyah Pas mampu meningkat pendapatan di situ kini hanya mampu melihat padang kosong begitu sahaja,” ujarnya.
Jelasnya lagi, inilah akibat taasubnya penduduk di situ yang terlalu percaya dengan hujah atau dalil yang dimainkan oleh pemimpin Pas kini penduduk Padang Terap hanya mampu melihatnya sahaja.
Bagi Sulaiman Endut, 59, pula berkata, sebenarnya penduduk di Padang Terap itu menolak tuah apabila projek bernilai bilion ringgit untuk masa hadapan anak cucu mereka itu ditolak dengan mudah.
Katanya, projek yang bermula pada 2021 dan berakhir pada 2025 itu nanti mampu menawarkan pekerjaan sebanyak 15,000 kepada penduduk di situ terutamanya untuk generasi muda hari ini.
“Apabila wujudnya bandaraya itu pemuda di sini tidak perlu agi berhijrah ke luar daerah untuk mencari pekerjaan. Bandaraya yang dibina seluas 504 ekar untuk fasa pertama itu juga mampu menarik orang luar berhijrah ke kawasan itu.
“Ini sekali gus banyak penempatan baharu akan dibina sekitar bandaraya itu dan Padang Terap tidak lagi sinonim dengan masalah kemiskinan yang terpalit sekian lama,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sekiranya bandaraya ini wujud penduduk tempatan dapat mengambil kesempatan dengan membuka perniagaan di sekitar kawasan itu.
Ini secara tidak langsung taraf pendapatan mereka dapat ditingkatkan dan mereka tidak bergantung sepenuhnya lagi kepada aktiviti pertanian semata-mata.
“Saya berharap pada pilihan raya kali ini marilah penduduk Padang Terap bangun dan berilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memulihkan kembali industri itu. Diharap nanti Padang Terap bukan sahaja dibanggakan oleh penduduk di Padang Terap sahaja malah rakyat Kedah keseluruhannya,” katanya.







