Ahmad Zahid ‘hero’ hapuskan stigma TVET graduan kelas 2

PUTRAJAYA – Era globalisasi menyaksikan peningkatan tenaga kerja dalam bidang kemahiran dan industri sejajar dengan kemajuan teknologi.

Sehubungan itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan bidang pembelajaran serta latihan yang memberikan penekanan utama terhadap bidang industri dengan tujuan menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang terbabit.

Malah, Dasar TVET Negara 2030 yang dibangunkan oleh Kerajaan Madani di bawah penelitian terperinci oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuktikan betapa pentingnya ia dirancang kerajaan demi masa depan rakyat, khususnya anak muda.

Tanpa menoleh ke belakang, kerajaan dilihat tekad membangunkan tenaga kerja mahir negara melalui TVET yang pernah dipandang sebagai pendidikan kelas kedua di negara ini oleh golongan tidak memahami kepentingan dan sumbangannya selaku antara segmen pendidikan utama.

Melangkah ke hadapan dengan lebih 765,000 pelajar TVET dilahirkan sejak 2018 dan kadar kebolehpasaran graduan TVET bagi 2023 mencecah 94.5 peratus secara keseluruhannya, tanggapan skeptikal itu perlahan-lahan terhakis dengan sendirinya, malah lebih ramai ibu bapa ketika ini menggalakkan anak mereka menceburi TVET sebagai pilihan lanjutan pendidikan.

Mana tidaknya, pada zaman penuh mencabar dan ditambah persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI), kemahiran untuk hidup perlu digarap sebaik mungkin dan peluang itu cerah melalui TVET.

Perkara ini membuktikan, usaha kerajaan
kini dilihat berada pada landasan betul, malah lebih terkehadapan melalui peranan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dipengerusikan Ahmad Zahid sebagai badan tertinggi membuat keputusan hala tuju TVET negara.

Ahmad Zahid dilihat komited dan tidak berperanan berat sebelah dalam
Pembangunan Dasar TVET Negara 2030 apabila pelbagai siri Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD), mesyuarat kerja dan bengkel disertai wakil pemegang taruh daripada pelbagai agensi serta organisasi dilaksanakan, selain mengambil kira dapatan pelbagai laporan dan kajian pelbagai pihak, sebelum diterjemah menjadi lima teras strategik.

Tidak hairan, Ketua Kluster TVET dan Industri Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Ramlee Mustapha ketika dihubungi menyambut baik dasar yang dilaksanakan kerajaan dan berpandangan langkah mengintegrasi konsep Malaysia Madani merentasi kurikulum TVET berupaya melahirkan lebih ramai graduan teknousahawan berjaya.

“TVET penting dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan relevan dengan kehendak industri, selain ia dilihat sebagai pemacu ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial dengan memfokuskan usaha membuka peluang latihan bidang itu serta menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dan mengurangkan kadar pengangguran.

“Selaras konsep Malaysia Madani, kualiti TVET perlu dipertingkatkan serta diperkasa oleh semua pihak yang terlibat agar ia mampu memenuhi keperluan negara dan rakyat serta industri,” katanya.

Kesungguhan kerajaan melalui usaha dipimpin Ahmad Zahid dalam memperkasa pendidikan TVET turut diakui Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi Fauzi.

Mewakili suara anak muda Melayu di Semenanjung, Fazreen melahirkan harapan Dasar TVET Negara dapat menyediakan pasaran kerja mahir dalam kuantiti besar dan berkualiti untuk menjayakan misi pemodenan dan kemajuan negara, selain pihak industri turut bersedia menerima dan melatih tenaga kerja domestik.

“Semua itu menuntut pendidikan TVET diselaras dan diarusperdanakan supaya hasrat Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam jangka panjang menjadi kenyataan

“Timbalan Perdana Menteri sering mengetengahkan idea berkaitan TVET dan diterjemah melalui agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah seperti MARA yang tepat pada masanya, dalam keadaan ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang kecenderungan akademik dan boleh diberi pilihan menerokai bidang TVET,” katanya.

Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan dasar tersebut signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET bermatlamat melahirkan pekerja berpendapatan tinggi.

Semoga Dasar TVET Negara 2030 melakar laluan lebih jelas ke arah lahirnya ramai pekerja berilmu dan berkemahiran yang bakal membawa kedudukan Malaysia ke tahap membanggakan sehingga mampu mencapai pengiktirafan di peringkat global.

Related Posts

MAIWP peruntuk RM1.1 juta sumbangan zakat bagi program Nur Ramadan 2025

LABUAN – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sumbangan wang zakat sebanyak RM1.1 juta bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menerusi program Nur Ramadan 2025. Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataannya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Islam larang hina agama lain, kerajaan juga tegas tangani isu hina Islam

PENDANG – Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam tidak akan dibiarkan seiring dengan ajaran Islam yang turut melarang perbuatan menghina agama lain. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sandakan Heritage Walk: Promosi gaya hidup sihat, sejarah dan pokok warisan

  • By Fandi
  • March 16, 2025
Sandakan Heritage Walk: Promosi gaya hidup sihat, sejarah dan pokok warisan

Undi tertinggi milik Gobind, Loke kekal Setiausaha Agung DAP

Undi tertinggi milik Gobind, Loke kekal Setiausaha Agung DAP

Polis tembak mati suspek kes samun guna senjata api

Polis tembak mati suspek kes samun guna senjata api

Saya boleh masak gulai ikan temenung, tapi tak sama dengan sentuhan bapa yang memasaknya – Dr Suraiya

Saya boleh masak gulai ikan temenung, tapi tak sama dengan sentuhan bapa yang memasaknya – Dr Suraiya

Sarawak mohon kaji semula data eKasih, pastikan ketepatan kadar kemiskinan – Nancy

Sarawak mohon kaji semula data eKasih, pastikan ketepatan kadar kemiskinan – Nancy

PRN17 Sabah: Mohamaddin mahu pertahan kerusi DUN Segama

  • By Fatin
  • March 16, 2025
PRN17 Sabah: Mohamaddin mahu pertahan kerusi DUN Segama