
SARATOK – Peranan ahli koperasi sebagai ejen pertumbuhan ekonomi setempat terus mendapat perhatian, terutama dalam usaha memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri menegaskan ahli koperasi memainkan peranan yang besar dalam ekonomi setempat dan seterusnya kepada negara.
“Ini selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKOM) 2030 bertindak sebagai pemangkin kepada aspirasi untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang membangun secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inkusif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Jom@Coop dan Bicara Ilmu: Koperasi Platform Ekonomi Ummah di Masjid Al-Muhtadin Saratok pada Sabtu.
Tambah beliau, dasar tersebut menjadi pemangkin aspirasi menjadikan negara membangun secara mampan dengan ekonomi adil dan inklusif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Dalam PCDS 2030, Premier menekankan ekonomi makmur di Sarawak, termasuk melalui koperasi,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak, Siti Maimunah Jerni berkata, koperasi bukan sekadar entiti ekonomi tetapi merupakan alat memperkasa ekonomi masyarakat dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.

Dalam program tersebut, Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz turut hadir untuk berkongsi ilmu kepada ahli koperasi yang hadir.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak, Norazlan Anuar; AJK Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sarawak mewakili Pengerusi, Awang Magerib Awang Anie; Pegawai Agama Islam Bahagian Betong; kakitangan IKMa Zon Sarawak, Mohd Isselauddin Kameri dan ahli-ahli koperasi.




