
KINABATANGAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayub (Miha) menggesa tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih laluan Lebuh Raya Pan Borneo, khususnya di kawasan Lamag.
Menurut beliau, isu berkenaan dibincangkan dalam sesi taklimat melibatkan perkembangan pembinaan laluan di Jalan Kampung (kg) Lot M–Sukau (Pakej Kerja WP26), Sukau–Kg Perpaduan Datuk Moh (WP25) serta Kg Perpaduan Datuk Moh–Sungai Takala (WP24).
“Keadaan jalan di kawasan Lamag sering tular dan menjadi perhatian ramai. Justeru, kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menyelenggara jalan sedia ada, termasuk dalam pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo ini,” ujarnya semasa menghadiri sesi taklimat oleh Sektor Lebuh Raya Pan Borneo bagi Pakej Kerja WP24, WP25 dan WP26 yang diadakan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinabatangan, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, Miha berharap pihak kementerian dapat mengambil langkah proaktif dan tegas terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, lebih-lebih lagi selepas tamatnya kontrak konsesi terdahulu yang didakwa tidak berjaya memperbaiki laluan terlibat dengan berkesan.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Joachim Gunsalam.





