
SANDAKAN – Seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui maut dengan kecederaan parah, dipercayai dibunuh abangnya sendiri di sebuah rumah di Bandar Karamunting, di sini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu namun hanya disedari pada Ahad kira-kira pukul 5.30 petang.
Menurut beliau, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa yang curiga apabila pintu bilik anaknya terhalang bertindak memaksa masuk sebelum menemui mayat mangsa berlumuran darah di dalam bilik tidur.
“Ketika kejadian, hanya dua beradik itu berada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, susulan maklumat diterima, polis menahan abang mangsa berusia 44 tahun kira-kira pukul 8.45 malam pada hari sama di kawasan sekitar.
“Suspek turut membawa polis ke lokasi tempat dia menyembunyikan seluar dipakainya yang berlumuran darah serta tiga bilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kepala, belakang telinga, perut dan tangan akibat serangan senjata tajam,” ujarnya.
George berkata, proses bedah siasat dijangka dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Jiran turut memaklumkan terdengar bunyi mengerang pada pagi Jumaat namun tidak menyangka ia berkaitan dengan kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental. Dia tinggal bersama keluarga di rumah berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.







