
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkenalkan dua kategori baharu dalam pertandingan sempena sambutan Hari Tandas Dunia 2025, melibatkan rumah ibadat dan sektor perhotelan.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti serta pengusaha premis perniagaan termasuk restoran, sekolah dan hotel untuk memastikan kebersihan tandas sentiasa terjaga.
“Tandas yang bersih akan memberi gambaran bahawa Bandaraya Kota Kinabalu bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga dari segi ketamadunan penduduk yang tinggal di bandaraya ini.
“Kita berharap pertandingan ini dapat memastikan kelestarian penjagaan tandas awam dan tandas di premis perniagaan, rumah ibadat dan sekolah,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2025, di sini pada Khamis.
Jelasnya, tahap kebersihan tandas di Kota Kinabalu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, terutamanya dalam kalangan restoran yang telah menaikkan gred kebersihan kepada kategori bersih, menawan dan wangi.
“Penjagaan tandas yang baik juga dapat mengurangkan ancaman lipas dan tikus yang lazimnya menjadi masalah di premis makanan yang tidak menjaga kebersihan.
Menurutnya, DBKK akan terus membuat pemeriksaan berkala terhadap tandas awam dan tandas premis untuk memastikan standard kebersihan dipatuhi.








