
KLANG – Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terbunuh dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah Ahad lalu, meluahkan rasa lega selepas tertuduh didakwa membunuh di Mahkamah Majistret Klang, pada Rabu.
Nor Nadia Abdul Majid, 32, yang diiringi peguam pemerhati keluarga Mohd Faizi Che Abu berkata, pertuduhan itu sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan yang sedang dilaluinya ketika ini.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih di atas pertuduhan itu (tuduhan bunuh ke atas suspek) Ya Allah.
“Lega sikit saya rasa Ya Allah. Satu saja saya hendak cakap nyawa dibalas nyawa, selainnya saya serah kepada peguam (mengendalikan kes ini).
“Alhamdulillah saya sangat-sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Saya amat-amat lega,” katanya dalam sidang media selepas prosiding pendakwaan berkenaan di perkarangan Mahkamah Klang, pada Rabu.
Pada masa sama Nor Nadia berkata, dia kembali ke Shah Alam bagi menguruskan perpindahan sekolah anak-anaknya ke kampung halaman di Taiping, Perak.
“Saya balik ke sini kerana saya hendak uruskan pertukaran sekolah anak-anak ke sana. Dekat sana, ramai ahli keluarga.
“Di sana, kalau saya sibuk bekerja ahli keluarga dapat bantu (jagakan anak-anak), kalau di sini, kalau saya sibuk, anak-anak tiada orang hendak tolong tengokkan.
“Memang amanat arwah ada pesan, ‘kalau apa-apa jadi, balik duduk kampung. Jangan duduk sini, sini tak ada siapa,” katanya dengan nada sebak.
Dalam pada itu, Nor Nadia turut berkongsi kisah menyayat hati kepada pengamalam media apabila, malam tadi anak-anaknya merindui arwah dan tidur bertemankan baju arwah.
“Anak-anak semalam tidur pakai baju arwah. Semalam saudara mara ada bawa anak-anak pergi ke kubur. Anak yang kecil tidak pernah pergi ke kubur dan cakap ‘Papa kat dalam (kubur)’.
“Saya perlukan bantuan sokongan juga untuk emosi anak-anak. Saya tidak mahu anak (sulung) rasa bersalah sebab dia (minta) arwah pergi untuk mencari buku teks.
“Saya tidak mahu dia rasa bersalah ataupun dibuli di sekolah nanti. Itu yang saya takut saya fikir. Itu sahaja,” katanya juga mengesahkan beberapa pihak menghubunginya untuk membantu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Mohd Faizi memaklumkan keluarga Amirul Hafiz merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta demi keadilan untuk isteri dan tiga anak mereka.
“Kita akan buat pengiraan dari segi gaji, sumbangan dan tanggungan dan penggandaan kepada berapa umur. Semua itu ada formula dan saya berbincang (dengan keluarga). Tetapi kita ada angka.
“Mungkin dalam jumlah tersebut (anggaran RM1 juta). Insya-Allah,” katanya yang akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes itu selain menasihati kes jenayah dan tindakan sivil yang akan diambil nanti.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek yang dipercayai bergerak laju menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat.
Dalam prosiding pagi ini, seorang juruteknik yang sebelum ini ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan membabitkan pembunuhan.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33 di Jalan Raya Barat di sini, kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac, Ahad lalu.






