
TEHERAN – Serangan udara dilancarkan Iran memaksa tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan beberapa pangkalan ketenteraan di Asia Barat, menandakan peningkatan ketegangan di rantau yang sudah lama bergolak.
Tentera AS kini terpaksa menjalankan operasi dari hotel dan pejabat sementara, keadaan yang menimbulkan risiko keselamatan kepada anggota tentera serta orang awam di sekeliling.
Analisis awal oleh Fabian Hinz, penganalisis sumber terbuka, mendapati Iran menyerang 104 pangkalan milik AS dan negara serantau.
Kelewatan pelepasan imej satelit oleh syarikat AS selama 14 hari menyulitkan penilaian kerosakan.
Namun, laporan The New York Times menyebut, daripada 13 pangkalan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), banyak yang hampir tidak boleh didiami akibat serangan berterusan.
Di antara semua pangkalan, Ali Al Salem di Kuwait menjadi sasaran paling teruk dengan 23 serangan.
Ia diikuti Camp Arifjan (17 serangan) dan Camp Buehring (6 serangan).
Imej satelit menunjukkan kerosakan meluas pada hangar, infrastruktur komunikasi, peralatan satelit, simpanan bahan bakar dan gudang besar di Ali Al Salem.
Di UAE, pangkalan Al Dhafra menunjukkan sebuah bangunan didiami tentera rosak teruk dengan kawasan letupan yang luas, dipercayai hasil serangan misil Khorramshahr-4 – antara yang paling canggih dalam arsenal Iran.
Di Bahrain, Iraq, Qatar, Arab Saudi dan Jordan, pangkalan masing-masing turut diserang beberapa kali.
Kajian Centre for Strategic and International Studies menganggarkan kerosakan awal perang ini menelan belanja sekurang-kurangnya AS$800 juta (kira-kira RM3.8 bilion), termasuk kerosakan radar Thaad di Jordan dan infrastruktur lain di rantau ini.
Di Arab Saudi, imej satelit menunjukkan hangar di Prince Sultan Air Base hancur bersepah, manakala di Qatar, Al Udeid Air Base – pangkalan AS terbesar di Asia Barat – mengalami kerosakan antena dan sistem satelit secara meluas.
Central Command yang bertanggungjawab ke atas pasukan AS di Asia Barat, mengeluarkan arahan segera untuk menghantar bunker mudah alih ke Jordan bagi mengekalkan keupayaan pertahanan radar dan udara.








