
KOTA KINABALU – PKR Sabah memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, seruan Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah menyuntik momentum baharu dalam kalangan anggota di negeri ini.
“Kekuatan organisasi di peringkat akar umbi perlu diperkasa bagi memastikan parti kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat.
“Pengukuhan jentera ini penting bagi memastikan PKR mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam membawa agenda reformasi serta pembangunan Sabah secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Ahmad Farid berkata, Mini Konvensyen dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Sabah pada 15 Mac lalu menjadi platform penting dalam memperkukuh kesatuan parti.
“Konvensyen itu turut menyaksikan penyertaan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin tempatan ke dalam PKR.
“Antara yang menyertai PKR ialah pakar pembangunan modal insan, Jenny R. Sedomon; pakar alam sekitar, Dr. Raymond Alfred dan tokoh korporat, Datuk Mohammad Jeffry Rosman.
“Turut menyertai ialah usahawan, Mohd Ashraf Chin Abdullah; pakar pembangunan perniagaan antarabangsa, Cheryl Ellron, serta individu berpengalaman dalam politik dan hubungan industri, Mohd Raffee Mohd Shakir.
“Selain itu, ahli perniagaan, Yong Shien Ping, Datuk Md Afendi, Chang Nyuk Keong dan peguam yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, Amli Nohin turut menyertai PKR.
“Ini menjadi asas penting dalam memperluaskan sokongan rakyat serta memperkukuh gerak kerja parti di Sabah.
“PKR Sabah akan terus memperkukuh organisasi parti serta kekal relevan dalam politik negeri melalui pendekatan inklusif dan berteraskan rakyat,” ujarnya.






