
TAWAU – Ribuan penduduk di Tawau terjejas susulan gangguan bekalan air yang berlaku akibat kerja-kerja pemasangan ‘sluice valve’ oleh pihak Jabatan Air Sabah, sejak awal pagi tadi.
Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung (Kg) Bombalai, Kg Sungai Imam, Kg Gudang Empat, Taman Semarak, Jalan Utara, Jalan Tanjung Batu, kawasan bandar hingga Jalan Apas Batu 2, Kem Kukusan, Kg Pasir Putih, Taman Ria, Kem Kukusan dan sekitarnya.
Jabatan Air Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja pemasangan yang dijalankan di tepi Jalan Durahman itu masih dalam proses pelaksanaan.
“Pihak jabatan sedang berusaha mempercepatkan kerja-kerja berkaitan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin kepada pengguna yang terjejas.
“Pemulihan bekalan air akan dilaksanakan secara berperingkat sebaik sahaja kerja-kerja pemasangan tersebut selesai sepenuhnya,” menurut kenyataan itu, pada Selasa.

Sehubungan itu, Jabatan Air Tawau memohon kesabaran dan kerjasama semua pihak sepanjang tempoh kerja-kerja berkenaan dijalankan serta memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap yang melawat lokasi berkenaan berkata, setakat pukul 6.30 petang, penyelenggaraan masih dilaksanakan dan dijangka akan siap malam atau esok pagi.
“Di bulan Ramadan ini, kakitangan Jabatan Air bekerja tanpa henti bagi memastikan bekalan air kembali pulih.
“Kita harus menghargai usaha mereka dan bersabar sementara kerja pembaikan dijalankan.
“Terima kasih atas kesabaran semua dan penghargaan khusus kepada setiap kakitangan yang bekerja keras tanpa mengenal penat lelah,” katanya.





