
KOTA KINABALU – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah terkubur selepas 15 pimpinan sayap itu mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, Mohd Hisyam Hazaril Mohd Azman berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira secara serius perkembangan semasa parti yang kini berdepan kemelut dalaman yang semakin meruncing.
“Konflik dalaman yang berlaku secara terbuka telah mencalarkan imej parti serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh Bersatu.
“Parti semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian yang berpanjangan sehingga mencalarkan imej parti dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti ini.
“Pendekatan pecat-memecat serta tindakan disiplin yang dilihat tidak konsisten dan bersifat selektif turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Armada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Jelasnya, beliau tidak menyokong budaya politik sedemikian kerana ia hanya akan memecah-belahkan parti dan melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli.
Menurut Mohd Hisyam, sebagai sayap pemuda parti di Sabah, Armada sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan kekuatan anak muda serta memperkukuh parti.
“Peranan tersebut semakin sukar dilaksanakan apabila parti terus dibelenggu konflik dalaman yang tidak berkesudahan.
“Keputusan meletakkan jawatan dibuat sebagai satu pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak boleh terus dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan.
“Langkah ini juga merupakan mesej jelas bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti,” kongsinya.
Sementara itu, Mohd Hisyam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli Armada di Sabah atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula Bersatu di negeri itu.
“Perjuangan untuk memperjuangkan suara anak muda akan diteruskan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara.
“Bila prinsip diketepikan dan perpecahan menjadi budaya, jawatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan,” tegasnya.



