PUTRAJAYA – Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz bukan sahaja menaikkan harga minyak di stesen, malah merubah keseluruhan struktur kos perniagaan dan perbelanjaan.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ram Al Jaffri Saad berkata, hal ini kerana hampir 20 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
Beliau berpandangan, ketidaktentuan yang berlaku memaksa akauntan pengurusan bagi setiap syarikat di Malaysia melakukan simulasi ujian tekanan yang lebih kerap, khususnya dalam menilai semula kemerosotan nilai aset.
“Ini penting bagi memastikan rantaian bekalan dan aliran tunai syarikat tidak lumpuh akibat lonjakan kos logistik dan insurans perkapalan yang mungkin naik mendadak. Kesannya mungkin sedikit dirasai sekarang tetapi lebih besar pada bulan-bulan akan datang.
“Sebagai negara ekonomi terbuka, seperti juga negara-negara lain, Malaysia tidak mempunyai perisai automatik daripada gelombang ini. Namun, kebijaksanaan terletak pada tadbir urus strategik,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Sehubungan itu, Ram Al Jaffri yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM berpandangan, terdapat keperluan untuk kerajaan menyediakan pelan kontingensi yang jelas untuk mendepani inflasi.
Jelasnya, pengukuhan rizab strategik petroleum dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui perlu menjadi langkah mitigasi risiko kewangan jangka panjang yang kritikal bagi mengurangkan kerentanan negara terhadap kejutan geopolitik.
“Tindak balas paling matang untuk sektor korporat mahupun awam ketika ini boleh jadi pelbagai. Dalam dunia perakaunan, pendedahan risiko bukan lagi sekadar memenuhi piawaian pelaporan tahunan tetapi amanah kepada pemegang taruh.
“Syarikat-syarikat besar, terutamanya yang tersenarai, perlu jujur mendedahkan sejauh mana konflik di Asia Barat boleh memberi impak kepada prestasi kewangan mereka. Saya melihat ketelusan ini penting bagi mengelakkan kejutan pasaran yang boleh menghancurkan keyakinan pelabur.
“Biarlah pelabur tahu realiti pendedahan risiko syarikat agar mereka tidak terpinga-pinga apabila berlaku volatiliti dalam pasaran saham kelak. Keputusan pelaburan yang dibuat lebih strategik dengan ketelusan risiko yang dilaporkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ram Al Jaffri berkata, setiap organisasi perlu lebih berdisiplin dalam memastikan tahap kecairan berada pada paras optimum dan tidak boleh hanya sekadar mengejar keuntungan di atas kertas.
Beliau berpendapat, tahap kecairan itu perlu dalam kira-kira syarikat agar mempunyai ‘peluru’ kewangan yang cukup untuk menyerap sebarang kejutan ekonomi yang datang mendadak.
“Bagi syarikat, langkah untuk melakukan audit menyeluruh terhadap kontrak-kontrak logistik dan bekalan sedia ada adalah sesuatu yang perlu. Dari perspektif perakaunan strategik, syarikat tidak boleh lagi bergantung kepada terma kontrak tradisional yang statik.
“Syarikat perlu memasukkan klausa pelindung kewangan yang lebih komprehensif bagi mendepani gangguan global. Klausa pelindung ini merupakan strategi perakaunan yang bijak untuk memindahkan risiko kewangan.
“Perkara ini penting untuk melindungi margin keuntungan syarikat daripada ‘bocor’ akibat denda atau kenaikan kos bekalan yang tidak terkawal. Ia juga dapat memastikan kestabilan kewangan jangka panjang organisasi tetap terpelihara di tengah-tengah badai geopolitik,” katanya.
Tambahnya, di tengah-tengah badai geopolitik yang semakin tidak menentu ini, ketepatan strategi dan ketegasan dalam mengurus risiko kewangan adalah benteng sebenar yang akan memelihara kepentingan nasional.
“Konflik Iran-AS-Israel adalah peringatan bahawa dunia sangat saling berkait.Melalui kaca mata perakaunan, kebijaksanaan bukan bermakna kita perlu memilih pihak. Apa yang lebih penting ialah kita perlu beri perhatian serius, bijak membaca data dan bersiap sedia,” katanya.







