
ELAKKAN pembelian panik kerana barangan keperluan dijamin mencukupi di seluruh negara menjelang Aidilfitri.
Nasihat itu disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang berkata, pemantauan awal sudah dilaksanakan pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga selepas musim perayaan.
Menurutnya, langkah itu turut melibatkan usaha memastikan rantaian bekalan barangan utama kekal stabil walaupun terdapat kebimbangan berkaitan faktor cuaca dan perkembangan konflik global.
“Semalam dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kita dimaklumkan ketika ini mempunyai lebihan bekalan barang-barang utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Laman Rekreasi Tasek Tambahan di Ampang, hari ini.
Armizan menjelaskan, kerajaan turut bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai langkah kontingensi sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat konflik global atau sekatan eksport oleh negara sumber.
“Selain KPKM, kita juga bekerjasama dengan MITI bagi menghadapi kebimbangan perang berlarutan termasuk mencari sumber alternatif sekiranya negara sumber tidak boleh atau terpaksa menghentikan eksportnya,” katanya.
Mengulas isu kenaikan harga sayur akibat faktor cuaca, Armizan berkata, beberapa jenis sayur utama telah dimasukkan dalam senarai SHMMP Aidilfitri bagi membantu mengawal harga.
Dalam perkembangan sama, kerajaan akan melaksanakan SHMMP Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac bagi memastikan harga barangan keperluan terkawal sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, sebanyak 27 jenis barangan terlibat di bawah skim tersebut termasuk tambahan satu produk baharu iaitu kacang dal (Australia), manakala pelaksanaan program Jualan Rahmah MADANI pula menyasarkan 1,898 siri sepanjang Ramadan dengan sekurang-kurangnya 50 jenis barangan dijual kepada pengguna.







