Kerajaan terus pantau pengaruh IS terhadap golongan muda

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan memberi jaminan bahawa aktiviti berorientasikan keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan Islamic State (IS) dalam kalangan anak muda di negara ini masih berada pada tahap terkawal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu dapat dikawal hasil kecekapan pasukan keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam memantau dan mengekang sebarang ancaman berkaitan kumpulan ekstremis.

Beliau bagaimanapun menegaskan semua pihak tidak boleh mengambil mudah perkara itu dan perlu terus memperkukuh usaha mendidik generasi muda melalui ilmu, penerangan dan kesedaran supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan ideologi luar.

“Semalam, Ketua Polis Negara buat kenyataan tentang muncul satu kelompok anak-anak muda, 18 ke 19 tahun, terpengaruh dengan hasutan luar IS ajar bagaimana bikin (buat) bom.

“Saya bersyukur kerana pertama keadaan masih terkawal dan kedua, kecekapan pihak polis yang saya menyeru kita jangan alpa.

“Anak-anak kita mesti dididik dengan ilmu, dengan penerangan, pencerahan, kesedaran. Kerana tanpa asas ilmu itu, mudah orang pengaruh. Ini pengaruh di luar yang dibawa masuk ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi di Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur ditahan dalam operasi khas oleh Cawangan Khas, PDRM pada 14 dan 15 Februari lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti IS.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu diberkas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor dan Terengganu selepas didapati terbabit dalam aktiviti berorientasikan keganasan serta penyebaran fahaman ekstremis melalui platform dalam talian.

Dalam pada itu, Anwar berkata, walaupun Malaysia menikmati suasana aman dan pertumbuhan ekonomi yang baik, kerajaan tetap berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditangani secara berterusan.

“Negeri aman, ekonomi baik, pertumbuhan baik. Siapa kata tidak ada masalah? Ada. Agama orang masih ada masalah. Sekolah ada yang kadang-kadang belum cukup kemudahan. Masjid ada yang minta lagi. Maknanya ada masalah kita cuba selesaikan. Tapi tak boleh kita selesai kalau negara tak aman.

“Di Iraq, Iran, Gaza, kerja musuh merobohkan masjid. Kita aman, boleh tumpukan perhatian nak bina dan bangunkan masjid. Di sana dipecah, dimusnah, dirobohkan masjid sebab itu faktor keamanan dan sistem politik yang aman dan pimpinan yang ambil sikap sederhana itu penting,” katanya.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi