89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 98 101 114 107 117 110 106 117 110 103 32 107 101 32 98 97 122 97 114 32 114 97 109 97 100 104 97 110 32 84 97 109 97 110 32 83 101 108 97 115 105 104 44 32 75 101 100 97 104 46 32 55 32 77 97 99 32 50 48 50 54 46 32 83 72 65 72 78 65 90 32 70 65 90 76 73 69 47 80 101 106 97 98 97 116 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 46 10 10
BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya menguruskan perbelanjaan secara berhemat susulan konflik yang masih berlarutan antara Iran dan gabungan Amerika Syarikat (AS)–Israel.
Beliau berkata, walaupun Malaysia ketika ini berada dalam keadaan yang selesa, kerajaan tetap bertanggungjawab mengingatkan rakyat bahawa situasi ekonomi boleh berubah susulan ketidaktentuan keadaan antarabangsa.
Tegasnya, kerajaan bimbang kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi sekiranya masyarakat terlalu selesa dan tidak mengambil berat tentang pengurusan kewangan.
“Hal ini bukan berlaku untuk satu negara, malah puluhan negara terlibat. Dalam peperangan pun, puluhan negara juga yang kesannya, harga barang juga meningkat tinggi.
“Jadi sementara keadaan sekarang terkawal, saya bertanggungjawab mengingatkan rakan-rakan supaya cermat, boleh simpan-simpan (menabung). Dalam bulan puasa, raya, jangan boros tak tentu arah.
“Ini kerana kita belum dapat jangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan. Pandai-pandai urus ekonomi. Kalau datang kegawatan yang begitu rupa, tidak mudah kita selesaikan. Rakyat kena sama-sama sedar dan bantu membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Masjid Mengkuang Titi di Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan sedang mencari jalan bagi mempertahankan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun berdepan ketidaktentuan berikutan situasi di Selat Hormuz.
“Harga minyak sekarang melonjak dua kali ganda, yang saya kini nak pertahankan RM1.99. Doa mudah-mudahan boleh kita pertahan yang tidak tahu berapa lama. Lebih 200 tangki besar mengangkut gas, minyak dan peralatan kejuruteraan lain terbantut di situ (Teluk Hormuz).
“Ini kerana kezaliman yang berpunca dari Israel disokong Amerika yang menyebabkan kos telah meningkat. Ia termasuk juga makanan, baja yang dibawa sepatutnya dari Ukraine, Russia, Eropah, semuanya sekarang melambung tinggi kosnya,” katanya.
Selat Hormuz ialah laluan perkapalan sempit antara Iran dan Oman dengan kelebaran kira-kira 55 kilometer serta menjadi antara laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia.


