‎Program Hasrat MADANI dekatkan dasar kerajaan dengan rakyat ‎

KOTA KINABALU – Program Hasrat MADANI yang dilaksanakan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Sabah berperanan sebagai platform menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat di samping mendapatkan maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi.

‎Pengarah JKOM Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad berkata, agensi itu bertindak sebagai ‘mata, telinga dan mulut’ kerajaan dalam menyalurkan maklumat dua hala antara kerajaan dan rakyat.

‎“Peranan JKOM adalah menjadi mata, telinga dan mulut kepada kerajaan. Kita menyampaikan dasar serta bantuan kerajaan kepada rakyat dan pada masa sama kita juga mendengar masalah yang dihadapi masyarakat.

‎“Maklumat daripada rakyat itu penting supaya kerajaan dapat memahami keadaan sebenar di peringkat akar umbi,” katanya semasa berucap pada Program Hasrat MADANI, Surau Al-Jannah di sini pada Jumaat.

‎Tambah Milus, melalui program tersebut pelbagai maklumat berkaitan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Tunai Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan turut disampaikan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman mengenai konsep Malaysia MADANI.

‎“Malaysia terdiri daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sebab itu konsep MADANI penting sebagai asas untuk kita membina negara yang maju dan sejahtera bersama.

‎“Kerajaan juga mahu memastikan rakyat hidup sejahtera. Kalau ada golongan yang tercicir, kita cuba atasi supaya tidak ada lagi rakyat yang berada dalam kategori miskin tegar, khususnya di Sabah.

‎”Pengalaman saya sebagai guru sebelum bersara pada tahun 2019 yang membuka matanya mengenai cabaran kehidupan sebahagian pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

‎“Semasa saya menjadi guru, ada pelajar datang ke sekolah dalam keadaan lapar kerana tiada wang untuk makan.

‎“Ada juga yang memakai pakaian yang sama setiap hari dan tidak mampu membeli kasut. Pengalaman itu memberi kesedaran bahawa masih ada rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan,” kongsinya.

‎Tambahnya lagi, semangat ihsan serta perpaduan juga perlu diperkukuhkan dalam kehidupan bermasyarakat bagi memastikan hubungan komuniti terus erat.

‎“Kadang-kadang jiran tidak sempat bertegur kerana sibuk dengan kerja. Melalui program komuniti, kita mahu menghidupkan semula semangat kejiranan supaya hubungan masyarakat lebih erat.

‎“Tidak kira apa bangsa, warna kulit atau keturunan, kita semua adalah saudara yang perlu hidup dalam suasana saling menghormati dan membantu antara satu sama lain,” ujarnya.

‎Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Razis Masteri merakamkan penghargaan kepada JKOM kerana memilih kawasan berkenaan sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program Hasrat MADANI pada tahun ini.

‎“Alhamdulillah, melalui program ini kami dapat mengetahui dengan lebih jelas dasar-dasar kerajaan serta pelbagai inisiatif yang disediakan untuk rakyat.

‎“Selain itu, kami juga dapat memahami enam teras utama dalam konsep MADANI. Pada malam ini pihak JKOM telah menerangkan tiga daripadanya iaitu Sejahtera, Ihsan dan Hormat,” katanya.

‎Beliau turut berharap beberapa inisiatif kerajaan dapat diperluaskan ke kawasan perumahan berkenaan bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

‎“Saya berharap program Jualan Rahmah Bergerak dapat dilaksanakan di kawasan perumahan kami supaya penduduk dapat membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.

‎“Selain itu, program Sejati MADANI juga diharap dapat diperkenalkan kepada penduduk di sini bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat,” kongsinya.

‎Razis turut mencadangkan supaya perkhidmatan klinik bergerak dibawa ke kawasan tersebut bagi membolehkan penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma melalui program PEKa B40.

Related Posts

Hari Malaysia wajar disambut bergilir, ketengahkan sejarah MA63 – TYT Sarawak

KUCHING – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada masa hadapan disaran agar diraikan secara bergilir-gilir di setiap negeri di seluruh negara bagi memupuk semangat perpaduan nasional yang lebih utuh. Yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sarawak pacu ekonomi hijau, sasar wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030

KUCHING – Sarawak di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmen menerusi pendekatan “cakap serupa bikin” dalam merancakkan pembangunan negeri berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.  Premier…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hari Malaysia wajar disambut bergilir, ketengahkan sejarah MA63 – TYT Sarawak

Hari Malaysia wajar disambut bergilir, ketengahkan sejarah MA63 – TYT Sarawak

Semenanjung boleh teladani keharmonian kepimpinan Sabah, Sarawak – PMX

Semenanjung boleh teladani keharmonian kepimpinan Sabah, Sarawak – PMX

Sarawak pacu ekonomi hijau, sasar wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030

Sarawak pacu ekonomi hijau, sasar wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030

UMNO perlu tampil jelaskan kemelut Negeri Sembilan yang memalukan – Puad Zarkashi

UMNO perlu tampil jelaskan kemelut Negeri Sembilan yang memalukan – Puad Zarkashi

Penambahbaikan BUDI Diesel signifikan kepada rakyat Sabah, Sarawak

  • By Ithma
  • September 17, 2026
Penambahbaikan BUDI Diesel signifikan kepada rakyat Sabah, Sarawak

Aminuddin persoal kuasa EXCO tentukan kedudukan Tuanku Muhriz

Aminuddin persoal kuasa EXCO tentukan kedudukan Tuanku Muhriz