
LIMBANG – Seramai 10 lelaki tempatan dicekup polis dalam satu operasi khas membanteras kegiatan dadah yang dijalankan di sekitar daerah ini bermula 26 hingga 28 Februari lalu.
Operasi yang dinamakan Op Tapis Khas itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak bagi mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan najis dadah secara berhabis-habisan.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, sepanjang tiga hari operasi tersebut, pihaknya turut merampas dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 0.68 gram yang dianggarkan bernilai RM68.
Menurut beliau, daripada keseluruhan tangkapan tersebut, empat suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.
“Sementara itu, enam lagi individu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama berkaitan kesalahan menyalahgunakan dadah,” katanya.


