
MUKAH – Semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat majmuk di bumi Kenyalang terserlah apabila hampir 1,000 pengunjung membanjiri Program Juh Berambih Sungkai @ Dataran Pehin Setia Raja pada Rabu.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah dengan kerjasama Pusat Khidmat N.57 Tellian, N.58 Balingian dan P.213 Mukah itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat yang hadir untuk berbuka puasa secara beramai-ramai.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine.
Abdul Yakub berkata, walaupun program itu berteraskan aktiviti keagamaan, pelaksanaannya di kawasan terbuka telah membuka ruang kepada penyertaan komuniti bukan Islam.
Menurutnya, ia sekali gus menjadi tanda solidariti serta manifestasi sikap saling menghormati budaya pelbagai kaum di Sarawak.
“Program seperti ini mampu mewujudkan interaksi yang lebih santai antara pemimpin, agensi kerajaan dan rakyat, lantas meningkatkan kohesi sosial dalam masyarakat kita,” katanya.
Sementara itu, Royston menyifatkan program berkenaan bukan sekadar majlis berbuka puasa biasa, sebaliknya diangkat sebagai simbol kerjasama erat dan perpaduan utuh komuniti setempat.

Ujarnya, bulan Ramadan banyak mendidik masyarakat tentang erti kesabaran, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja berkongsi juadah, malah dapat berkongsi kasih sayang serta mengeratkan lagi tali silaturahim sesama masyarakat,” jelasnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil Pejabat Daerah Mukah, Nolin Gendang; Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias; Pegawai Penerangan Daerah Mukah, Khalid Ani dan Pegawai Penerangan JKOM Mukah, Abdul Majid Azman.


