
KUALA LUMPUR – Keperluan pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih telus, akauntabiliti dan berimpak kepada rakyat dibangkitkan dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, kata Senator Datuk Anna Bell Perian.
Katanya, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai reformasi pentadbiran dan pengukuhan integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas oleh kementerian.
“Setiap jawapan kerajaan di Dewan Negara wajar disertakan data yang tepat, sasaran yang boleh diukur serta garis masa pelaksanaan projek.
“Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan diminta menjelaskan status terkini perkara itu serta sama ada formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memberi kepastian fiskal kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut bangkit isu kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta termasuk peratusan siap bagi setiap pakej Fasa 1B dan tarikh jangka siap terkini.
“Projek tersebut penting bagi memacu ekonomi, meningkatkan keselamatan jalan raya serta memperluas akses kepada perkhidmatan asas di kawasan pedalaman.
“Masalah bekalan air, elektrik serta keperluan garis masa jelas bagi projek berkaitan seperti Projek Southern Link dan penggantian paip usang di Kota Kinabalu serta Tawau,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut membangkitkan isu kemiskinan di beberapa daerah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih tergolong antara kawasan termiskin di Malaysia.
Kerajaan diminta menjelaskan agihan peruntukan pembangunan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi merangsang ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Katanya lagi semasa perbahasan, beliau juga menyentuh agenda pendigitalan melalui projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak.
“Saya menekankan kepentingan memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan.
“Kemajuan negara perlu diukur berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan sampai kepada rakyat, khususnya di Sabah
“Keadilan wilayah perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain,”ujarnya.





