Malaysia berjaya stabilkan harga RON95 ketika krisis Timur Tengah – Pakar ekonomi

PUTRAJAYA – Malaysia berjaya menstabilkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun konflik di Timur Tengah terus memberi tekanan kepada pasaran minyak mentah dunia.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, pengumuman Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa harga RON95 kekal di bawah program Budi MADANI 95 (BUDI95) membuktikan keupayaan kerajaan mengurus subsidi secara berstrategi dalam suasana geopolitik tidak menentu.

Beliau berkata, walaupun harga minyak mentah meningkat akibat konflik Timur Tengah dan gangguan di Selat Hormuz, kerajaan menegaskan akan berusaha memastikan tiada kenaikan harga kepada rakyat.

“Ini menunjukkan keberkesanan model subsidi tersasar kerana ia mengurangkan ketirisan, terutama kepada warga asing atau kenderaan perdagangan antarabangsa.

“Dengan mengekalkan harga RON95 untuk rakyat, kerajaan mengekalkan kestabilan kos hidup dalam keadaan global yang tidak menentu.

“Langkah ini melindungi kumpulan B40 dan M40 daripada tekanan inflasi yang berpunca daripada kenaikan kos pengangkutan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan subsidi lebih bersasar memastikan hanya warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi, manakala bukan warganegara perlu membayar harga tanpa subsidi, sekali gus menjadikan sistem lebih adil dan terkawal.

Barjoyai berkata, walaupun terdapat laporan menyebut berlaku ‘penurunan’, realitinya kerajaan mengekalkan harga RM1.99 seliter, yang boleh dianggap sebagai ‘penurunan relatif’ kerana tekanan global sepatutnya menyebabkan kenaikan.

Katanya, langkah itu bukan sahaja bertindak sebagai penstabil kos sara hidup, malah memberi isyarat keyakinan terhadap kedudukan fiskal negara yang masih mampu menampung subsidi bersasar.

“Harga petrol adalah komponen besar dalam bakul inflasi Malaysia. Dengan mengekalkan harga RM1.99, tekanan inflasi jangka pendek dapat dikawal serta mengelakkan kesan rantaian terhadap harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sebagai negara pengimport bersih minyak mentah, Malaysia masih berupaya mengimbangi kos melalui struktur perdagangan petroleum, termasuk nilai eksport minyak mentah jenis ringan dan manis yang lebih tinggi berbanding minyak berat.

Secara keseluruhan, Barjoyai berkata, keputusan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 adalah langkah wajar dan tepat pada masanya bagi mengurangkan risiko inflasi, memastikan subsidi sampai kepada rakyat tempatan serta mengukuhkan keyakinan terhadap dasar Kerajaan MADANI.

Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar semasa RM1.99 seliter demi kepentingan rakyat Malaysia meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Timur Tengah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara. Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan bertekad mempertahankan harga RON95 di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Sementara itu, hari ini media melaporkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan akan terus mengekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter dan tidak bercadang melakukan sebarang perubahan drastik dari segi harga atau dasar ketika ini.

Beliau berkata, konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah tidak menunjukkan petunjuk kukuh untuk mendorong kerajaan mengubah dasar sedia ada atau menyemak semula harga minyak di pasaran domestik.

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Lebih 500 ahli UMNO sertai program Gerakan Setia UMNO Jerantut

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji

Keteguhan perpaduan, kebersamaan teras utama maju bersama – Hajiji