
KLANG- Penduduk daerah Klang diminta berwaspada dan cakna berikutan fenomena air pasang yang dijangka melanda dari 3 hingga 7 Mac ini.
Peringatan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang yang memaklumkan paras air laut tertinggi diramalkan mencecah sehingga 5.2 meter pada 4 dan 5 Mac di Stesen Pelabuhan Klang.
Malah, berdasarkan infografik Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang, Sepanjang tempoh berkenaan, hujan juga diramalkan berlaku di beberapa kawasan pada 4 Mac.
Sementara itu, ribut petir dijangka melanda kebanyakan kawasan pada 3 Mac, manakala fenomena sama diramalkan berlaku di beberapa kawasan pada 6 Mac.
Justeru, orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai dinasihatkan bersedia serta sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran.
Makluman tersebut adalah berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional.
Penduduk juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana (DDOC) Daerah Klang di talian 03-33829292 sekiranya berlaku kecemasan.





