
KOTA BELUD – Seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu dalam kejadian di Sapoda, di sini pada malam Sabtu.
Menurut Balai Bomba Kota Belud, Elge Bakuk pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 malam melalui talian balai bomba.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati benar terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Jelasnya, pasukan menghadapi kesukaran untuk memasuki lokasi kejadian berikutan laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan.
Beliau berkata, pasukan bomba bersama anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar ke jalan utama menggunakan ‘jungkin strecher’ oleh pasukan bomba dengan bantuan Ranger Sapoda sebelum polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.56 malam.







