
PADAWAN – Seramai 12 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ditahan polis dalam operasi bersepadu yang dijalankan secara intensif sekitar Matang dan Batu Kawa, Kuching, baru-baru ini.
Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan itu membawa kepada penahanan 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 52 tahun.
Ketua Polis Daerah Padawan, SUPT Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
Menurutnya, empat lelaki dan seorang wanita disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
“Seorang lagi lelaki tempatan berusia 45 tahun turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama berikutan keputusan ujian air kencing yang positif dadah.
Tegasnya, pihak polis akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.






