
SERAMAI 1.454 juta pengundi 18 di Selangor telah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah tertinggi direkodkan pada 2022 dengan 1.185 juta pemilih. Ia diikuti 94,383 orang pada 2023, 88,595 (2024) dan 86,461 setakat 2025.
Secara keseluruhan, pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik (PPA) menyaksikan 7.586 juta pemilih didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh sama.
“Data-data pemilih yang disimpan di SPR adalah data yang diperoleh melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang mana ia dikawal selia dan diuruskan sepenuhnya oleh agensi tunggal ini yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran penduduk negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berhubung statistik Pendaftaran Pemilih Automatik mengikut negeri dari 2022 hingga 2025.
PPA yang dilaksanakan SPR mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021, membolehkan warganegara yang mencapai usia 18 tahun didaftarkan secara automatik tanpa perlu membuat permohonan manual.
Bagi memastikan ketepatan maklumat, pemilih boleh menyemak status dan butiran mereka melalui saluran Portal rasmi SPR, www.spr.gov.my atau mysprsemak.spr.gov.my.
Pemilih turut boleh menyemak di Portal Pejabat Pilihan Raya Negeri: ppn.spr.gov.my atau menerusi Aplikasi dalam talian: myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih: MySPR Semak dan Talian hotline: 03-8892 7218.
Azalina menjelaskan, berdasarkan Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mana-mana individu yang mendapati namanya tiada dalam Daftar Pemilih Tambahan boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang C.







