
SIBU – Laluan Pusingan-P (P-Turn) di Lebuhraya Pan Borneo di Selangau melakar sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi pertama di Sarawak yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris berkata, pemasangan sistem pintar itu merupakan usaha berterusan jabatan berkenaan untuk memperkasa aspek keselamatan dan pemantauan trafik di laluan utama.
Menurut beliau, penggunaan teknologi AI tersebut membolehkan pemantauan pergerakan trafik dilakukan secara masa nyata atau real-time.

“Ia sekali gus membantu pihak kami mengenal pasti sebarang insiden kemalangan mahupun pelanggaran peraturan jalan raya dengan lebih pantas dan berkesan.
“Langkah ini juga amat bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memperluaskan penggunaan teknologi pintar dalam prasarana awam, terutamanya di kawasan berimpak tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi JKR Sarawak pada Rabu.
Sehubungan itu, Cassidy menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak leka dan terus mematuhi peraturan lalu lintas ketika memandu walaupun sistem pemantauan di kawasan berkenaan telah dipertingkatkan.
Jelas beliau, pihak JKR Sarawak akan menilai terlebih dahulu tahap keberkesanan sistem perintis berkenaan.
Sekiranya berkesan, pihaknya mempertimbangkan untuk memperluaskan penggunaan teknologi yang sama ke beberapa lokasi strategik lain di sekitar Sibu dan seluruh negeri.
Foto: Facebook Jabatan Kerja Raya Sarawak




