
TAWAU – Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat setempat di sini bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan sempena bulan Ramadan.
Program tahunan yang diadakan di Jalan Tiku pada Rabu itu menyasarkan agihan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, termasuk di masjid, surau, rumah anak yatim serta Wisma Persekutuan Tawau.
Penganjur program, Fung Thin Yein berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk selain membantu golongan yang memerlukan.
“Selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita bertindak atas prinsip MADANI yang menekankan perpaduan dalam masyarakat majmuk, sekali gus mengetepikan sebarang perbezaan demi kepentingan bersama.”
“Walaupun saya bukan beragama Islam, ia tidak menjadi penghalang untuk saya bersama-sama menjayakan program kebajikan seperti ini.

“Kita hidup dalam masyarakat majmuk, jadi kita fokus kepada kebersamaan dan saling membantu antara satu sama lain,” ujarnya kepada media di sini hari ini.
Fung yang juga Ketua Cabang PKR Tawau berkata, program tersebut dijayakan melalui kerjasama erat barisan sukarelawan dan ahli jawatankuasa yang berganding bahu menyediakan juadah berkenaan sejak awal pagi secara gotong-royong.
Tambahnya semangat ‘satu hati’ yang dipamerkan oleh semua pihak yang terlibat menjadi nadi utama kepada kelangsungan program agihan itu yang dilaksanakan pada setiap tahun.
“Apa yang penting adalah sumbangan tenaga dan sedikit bantuan kewangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan kita dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai, terutamanya dalam suasana bulan yang mulia ini,” kongsinya.






