
JULAU – Berang selepas ditegur kerana bermain mercun, seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan sehingga meragut nyawa jirannya di sebuah rumah panjang di Sungai Minus Entabai pada Selasa.
Mangsa yang berusia 69 tahun dan bekerja sebagai pekebun disahkan meninggal dunia pada jam 11.49 pagi ketika menerima rawatan di Klinik Nanga Entaih akibat kecederaan parah terkena tembakan pada bahu kanan.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung insiden berdarah itu pada jam 12.20 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11 pagi. Ketika itu mangsa yang baru pulang dari kebun kelapa sawit sedang berjalan di kawasan kaki lima (ruai) rumah panjang berkenaan.
“Suspek berusia 43 tahun yang juga penghuni rumah panjang sama, dipercayai keluar dari biliknya secara tiba-tiba sebelum melepaskan satu das tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa,” katanya.
Difahamkan, beberapa saksi di tempat kejadian mendakwa terdengar bunyi letupan sebelum melihat mangsa rebah berlumuran darah. Lebih mencemaskan, suspek turut melepaskan satu lagi tembakan ke arah tong air, selain bertindak agresif mengugut penghuni lain yang berada di lokasi.
Mengulas mengenai motif kejadian, Alif Haiqal memberitahu, suspek dipercayai bertindak sedemikian akibat rasa tidak berpuas hati terhadap mangsa.

“Mangsa dikatakan ada menegur suspek pada awal pagi supaya tidak bermain mercun atau senjata api di kawasan rumah panjang. Teguran itu dipercayai mencetuskan perselisihan faham sehingga suspek bertindak di luar kawalan,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas suspek di biliknya pada jam 1.35 petang hari yang sama.
Turut dirampas, selaras senapang patah jenis SBBL 12 bore bersama beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Foto: IPD Julau





