
LAWAS – Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lawas menganjurkan Program Berbuka Puasa bersama petugas barisan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas (IPD Lawas) dalam suasana penuh ukhuwah di Astaka IPD Lawas, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, bulan Ramadan bukan alasan untuk memperlahankan gerak kerja pasukan, sebaliknya menjadi medan memperkukuh disiplin, integriti dan semangat berpasukan.
“Walaupun kita berpuasa, tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan.
“Saya mahu semua anggota barisan hadapan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, bertindak pantas dan mengekalkan prestasi pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau turut menyeru agar setiap anggota terus memelihara integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas harian serta memastikan semua perancangan operasi berjalan lancar tanpa sebarang kompromi terhadap standard perkhidmatan.

Menurutnya, pengorbanan anggota yang bertugas mengikut syif sepanjang Ramadan amat dihargai dan kepimpinan IPD Lawas sentiasa komited menjaga kebajikan serta kesejahteraan warga pasukan.
“Program seperti ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi simbol kebersamaan dan penghargaan kepada anggota yang terus komited berkhidmat demi masyarakat,” ujarnya.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Noramin Mohd Amin dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) IPD Lawas sebelum semua hadirin menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana harmoni.
Tambah beliau lagi, program tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim antara barisan hadapan dan pihak pengurusan tanpa mengira pangkat, selain menyemai nilai keinsafan, kesyukuran serta memperkukuh sahsiah dan kerohanian warga IPD Lawas sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran majlis seumpama itu dilihat mampu meningkatkan motivasi dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggota agar terus berkhidmat dengan dedikasi, integriti dan profesionalisme selaras dengan nilai murni serta etika perkhidmatan PDRM.





