
LIMBANG – Reka bentuk bangunan baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang yang dianggarkan menelan kos RM1.5 juta kini di peringkat penelitian bagi memastikan ia memenuhi fungsi dan keperluan organisasi berkenaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu telah diadakan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, penelitian terperinci terhadap pelan bangunan itu amat penting sebelum kerja-kerja fizikal bermula.
“Projek ini telah memperoleh kelulusan pemilikan sebidang tanah berkeluasan 0.54 ekar yang terletak di kawasan Jalan Kubu, Limbang sebagai tapak pembinaan.
“Justeru, penelitian terhadap pelan dan reka bentuk ini wajib dilakukan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta menepati spesifikasi yang ditetapkan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan bahawa bangunan itu kelak bakal menyediakan kemudahan asas yang lengkap bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti serta program PERKIM di daerah ini.
Tambahnya, kemudahan baharu itu juga diharap dapat memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada ahli pertubuhan, malah kepada komuniti setempat secara keseluruhannya.
Turut hadir Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud; Jurutera Awam JKR Limbang, Roslin Sebari; Penolong Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Limbang, Mazwandi Zekeria dan Penolong Pegawai Seni Bina JKR Limbang, Mohamad Shazral Abdul Rahim.



