
SIBU – Pembinaan Jalan Teku–Pasai–Kemuyang dilihat sebagai antara projek strategik dalam memperkukuh kesalinghubungan wilayah serta merangsang pembangunan sosioekonomi di kawasan tengah negeri ini.
Projek berimpak tinggi bernilai RM76 juta itu bukan sahaja bertujuan memendekkan masa perjalanan antara kawasan Teku, Pasai dan Kemuyang malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar serta pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, projek berkenaan terus diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan mengikut perancangan ditetapkan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan tapak projek bagi menilai kemajuan pelaksanaan pembinaan jalan berkenaan pada Selasa.
Menurut beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu dijangka siap sepenuhnya pada September 2027 dan akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat khususnya dari segi akses, mobiliti dan peluang ekonomi.
Beliau turut menekankan keperluan pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan projek mematuhi garis masa dan spesifikasi ditetapkan sekali gus menjamin pulangan nilai kepada rakyat selaras dengan agenda pembangunan infrastruktur kerajaan Sarawak.



