
KERAJAAN menegaskan aktiviti penternakan babi tidak dilarang dari sudut dasar, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira lokasi yang sesuai bagi mengelakkan kegelisahan penduduk serta menjejaskan keharmonian masyarakat setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menentang penternakan babi atau amalan pemakanan masyarakat bukan Islam, namun aspek sensitiviti, kesihatan awam dan keselesaan penduduk perlu diberi perhatian.
“Begitu juga mengenai ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan.
“Kalau mahu, cari pilihan tempat yang jauh, boleh teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, isu berkaitan penternakan babi tidak wajar dilihat dari sudut perkauman atau agama, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan implikasi terhadap kesihatan awam, alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang hak orang bukan Islam untuk memakan babi, namun berpandangan penternakan berkenaan tidak sesuai ditempatkan di kawasan kediaman yang dihuni oleh masyarakat yang tidak mengamalkannya.
“Ternakan babi bukan soal Cina atau Melayu. Kalau orang bukan Islam mahu makan, itu hak mereka dan tidak wajar dihalang.
“Tetapi kalau di kawasan penduduk yang majoritinya tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tidak kita galakkan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bantahan terhadap pembinaan ladang babi di kawasan perumahan bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya berasaskan isu sebenar yang dihadapi penduduk.
“Jadi cari tempat yang ada konsensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah,” katanya.
Anwar berkata, meskipun terdapat teknologi moden di negara maju yang mampu mengurangkan kesan pencemaran dan kebersihan, perkara itu tidak bermakna penternakan babi wajar ditempatkan berhampiran kawasan berpenduduk.
“Apa jawapannya, apakah harus diteruskan di kawasan yang mungkin menimbulkan kontroversi? Jawapan saya, jangan. Cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi, yang ada konsensus.
“Saya (pun) tidak setuju kalau di sekitar rumah saya dekat Sungai Long ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan memaksa mana-mana komuniti menerima penternakan yang ditolak penduduk setempat, khususnya jika ia berpotensi menjejaskan persekitaran dan kesihatan awam.
Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak supaya sebarang cadangan berkaitan penternakan babi dibincangkan secara berunding dan berhemah, serta dinilai dari sudut kesihatan, alam sekitar dan kesan bau, bagi mengelakkan salah faham antara kaum.
“Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesan bau. Kalau ditolak tanpa dengar, nanti dikata kita anti-Cina atau antibabi. Itu tidak benar,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, pendekatan kerajaan adalah berasaskan prinsip rundingan, keseimbangan hak serta saling menghormati semua pihak bagi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat terus terpelihara.







