
DAKWAAN kononnya Malaysia telah ‘menyerahkan’ lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia adalah manipulasi penyelewengan fakta.
Isu ini cepat merebak, ditunggang dengan spekulasi dan naratif yang mengundang keresahan rakyat, seolah-olah kedaulatan negara sedang digadai.
Hakikatnya, cerita sebenar jauh berbeza.
Isu ini bukan isu jual tanah, bukan isu tukar ganti, dan bukan isu kerajaan menggadai kedaulatan negara.
Ianya adalah isu penyelesaian sempadan lama yang tergantung lebih 40 tahun, berpaksikan perjanjian antarabangsa yang ditandatangani pada tahun 1891, 1915 dan 1928 antara British dan Belanda.
Bagi kawasan Sungai Sinapad–Sungai Sesai yang menjadi polemik, permasalahnya ialah kedudukan sebenar sungai dan muara tidak pernah diukur secara tepat.
Sebab itu kawasan ini digelar Outstanding Boundary Problem (OBP), yakni sebuah kawasan yang belum dimuktamadkan.
Kerja pengukuran sejak 1977, berlarutan selama hampir 47 tahun tanpa penyelesaian.
Bagi sektor Sabah–Kalimantan Utara, pengukuran teknikal selesai di antara tahun 2019 hingga 2023, melibatkan pakar kedua-dua negara, serta penyertaan penuh Kerajaan Negeri Sabah sendiri.
Hasilnyalah yang dimeterai secara rasmi melalui MoU pada Februari 2025.
Sebenarnya Malaysia mendapat tambahan kawasan, bukan kehilangan.
Di OBP Sungai Sinapad–Sungai Sesai, Malaysia memperoleh 780 hektar wilayah baharu.
Baki 5,207 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia kerana sememangnya berada di selatan garis sempadan, yang mana sebelum ini belum dimuktamadkan.
Selepas sempadan dimuktamadkan, sebahagian kawasan ketiga-tiga kampung terlibat masuk ke wilayah Sabah, bukan keluar.
Ini bermaksud dakwaan bahawa Malaysia ‘menyerahkan 5,207 hektar demi tiga kampung’ adalah penyelewengan fakta.
Penyelesaian persempadanan ini penting, bagi mengukuhkan kedudukan undang-undang negara di peringkat antarabangsa dan menutup ruang tuntutan lebih besar pada masa depan.
Isu sempadan bukan bahan politik murahan. Ia soal negara, undang-undang, kedaulatan dan masa depan.
Janganlah ada fakta yang diselewengkan, biarkan fakta berdiri lebih tinggi daripada fitnah politik.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






