
NILAI – Seorang pemuda maut selepas dikatakan secara tiba-tiba keluar dari kereta dipandu teman wanitanya di Batu 9, Labu, berhampiran Taman Kirby, di sini, petang Isnin lalu.
Mangsa berusia awal 20-an itu tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal jam 12.35 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, sekitar jam 11.37 pagi semalam Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan daripada seorang wanita mengenai kejadian itu.
“Wanita warga tempatan berusia 20-an memaklumkan rakannya, seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an, dipercayai keluar dari sebuah kereta.
“Ketika kejadian, kereta sedang bergerak dan insiden itu dikatakan berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin, di Jalan Seremban–Nilai menghala ke Nilai, berhampiran Taman Kirby, Batu 9,” katanya, lapor Berita Harian.
Tambahnya, ketika dalam perjalanan, berlaku perbincangan sebelum mangsa dipercayai keluar dari kenderaan itu secara tiba-tiba.
“Akibatnya lelaki ini cedera pada bahagian kepala dan lutut serta tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebelum disahkan meninggal dunia jam 12.35 tengah hari semalam oleh pegawai perubatan,” katanya.




