Zahid mohon dilepas dan dibebas sepenuhnya 47 kes Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya dilepas dan dibebaskan (DNA) sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid selaku pemohon, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden minggu lalu.

Ketika ditemui selepas prosiding, beliau berkata, pembelaan mengambil langkah berkenaan selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes membabitkan Presiden UMNO berkenaan.

“Susulan kenyataan media terbabit, kami membuat permohonan DNA pada 28 Januari dan AGC telah memperoleh permohonan berkenaan, dua hari kemudian.

“Memandangkan anak guam telah diberi perintah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) pada 4 September 2023, maka tidak adil sekiranya pertuduhan itu masih tergantung atas kepala dia,” katanya, lapor Bernama.

Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi perintah DNAA kepada ahli politik berusia 73 tahun berhubung kes berkenaan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri (pada ketika itu) untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Sementara 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Related Posts

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

PUTRAJAYA – Penjawat awam diingatkan supaya tidak bekerja sambil lewa atau berasa selesa dengan pencapaian yang telah diperoleh kerajaan pada ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

PUTRAJAYA – Kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya masih berada pada tahap baik biarpun wujud pelbagai dakwaan terutama di media sosial. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan 1.9 bilion daripada cerita

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan 1.9 bilion daripada cerita

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026