
ARAU – Polis menumpaskan rangkaian jenayah dikenali sebagai Geng Rahim Burma selepas menahan 11 individu yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar negeri ini sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, tangkapan hasil Op Pintu itu membabitkan tujuh lelaki dan dua perempuan warganegara Myanmar, seorang wanita warganegara Indonesia serta seorang lelaki warga tempatan.
Menurutnya, kumpulan berkenaan disyaki terlibat sekurang-kurangnya dalam 15 kes pecah rumah membabitkan kawasan Arau dan Padang Besar.
“Kumpulan ini dipercayai bergerak secara terancang dengan suspek utama dikenali sebagai Rahim yang bekerja sebagai tukang rumah dan memainkan peranan mengenal pasti sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.

Tambahnya, kumpulan itu sering menyasarkan rumah di atas tanah lot sebelum melarikan barangan berharga serta wang tunai.
Jelas beliau, sebuah premis kediaman milik individu bergelar Datuk turut menjadi sasaran kumpulan berkenaan.
“Tangkapan pertama dibuat pada 16 Januari lalu di sekitar Perlis dan membawa kepada tangkapan susulan pada 23 serta 24 Januari terhadap beberapa suspek di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan kenderaan digunakan dalam jenayah tersebut,” katanya.
Menurutnya, pelbagai barangan dirampas termasuk sebuah Perodua Alza, telefon bimbit pelbagai jenama, barang kemas, jam tangan, wang tunai tempatan serta mata wang asing dengan nilai keseluruhan hampir RM100,000.
Polis turut merampas peralatan pecah rumah seperti pemotong besi, penukul, pemutar skru dan besi kuku kambing.
Kesemua suspek berusia sekitar 30-an kini disiasat mengikut Seksyen 457, 414 dan 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






