
KUCHING – Sarawak dan Perak kini sedang meneroka potensi kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan, termasuk cadangan mewujudkan laluan penerbangan terus AirBorneo menghubungkan Sarawak dan Ipoh.
Perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi kerajaan Perak yang diketuai Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee ke atas Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, pada Rabu.
Menurut Kim Shin, pertemuan dua hala itu bertumpu kepada pertukaran pandangan mengenai strategi pembangunan pengangkutan Sarawak serta inisiatif meningkatkan kesalinghubungan serantau.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) memberi penekanan serius terhadap pembangunan ekosistem pengangkutan masa depan yang bersepadu merangkumi darat, udara dan maritim.
“Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pelancaran operasi syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo serta sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang kini sedang dalam pembinaan aktif,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, sistem ART Sarawak merupakan sistem berkuasa hidrogen pertama di luar China, disokong oleh perkhidmatan bas pengantara yang turut menggunakan tenaga hijau tersebut.
Tambahnya, bagi memastikan kelestarian jangka panjang dan kecekapan kos, Sarawak kini bergerak ke arah penghasilan hidrogen sendiri di samping usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan.
“Inisiatif pengangkutan Sarawak telah menarik minat banyak pihak termasuk delegasi dari Pulau Pinang, Johor, Brunei, Indonesia dan Belanda yang datang melihat sendiri sistem ART ini,” ujarnya.
Sementara itu, Sze Yee berkata, pembangunan pesat Sarawak sejak kebelakangan ini menarik perhatian Kerajaan Negeri Perak untuk mengadakan sesi libat urus secara terus.
Beliau menyifatkan kedua-dua negeri mempunyai banyak persamaan dan berharap pertemuan itu dapat membuka ruang pertukaran idea serta kerjasama yang membawa manfaat ekonomi dan pelancongan kepada kedua-dua pihak.




